Bilangan Jemaah Sembahyang Jumaat
Ulama' Syafie dan Hambali mengatakan jumlah ahli jemaah untuk mendirikan sembahyang Jumaat mestilah 40 orang termasuk imam atau lebih. Bilangan 40 orang itu mestilah terdiri dari penduduk tetap yang mendiami di sesuatu tempat atau penduduk bermukim yang telah memenuhi syarat-syaratnya seperti mukallaf, akil baligh, merdeka dan lelaki. Jika bilangan ahli jemaah kurang dari 40 orang maka tidaklah boleh didirikan sembahyang Jumaat pada hari tersebut sebaliknya digantikan dengan sembahyang Zohor.
Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ka'ab antara maksudnya, bilangan orang yang menunaikan sembahyang Jumaat yang pertama sekali di Madinah bersama-sama dengan As'ad b. Zurarah adalah seramai 40 orang. Dari Al Baihaqi meriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud maksudnya, "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menunaikan sembahyang Jumaat di Madinah dimana bilangan mereka seramai 40 orang dan tiada bukti yang menunjukkan baginda menunaikan sembahyang tersebut dengan bilangan yang kurang dari 40 orang. Oleh itu tidak boleh dikerjakan sembahyang Jumaat dengan bilangan yang kurang dari 40 orang.
Jika kesemua atau separuh dari bilangan 40 orang tersebut bersurai ketika khutbah sedang dibaca, maka tidak sah sembahyang Jumaat pada hari itu kerana pendengaran 40 0rang jemaah terhadap semua rukun khutbah adalah dituntut. Tujuan khutbah untuk didengari oleh orang ramai tetapi jika kurang dari 40 orang sebelum selesai sembahyang Jumaat maka hendaklah dilakukan sembahyang Zuhur dan tidak perlu lagi disempurnakan sembahyang Jumaat. Bilangan adalah syarat dan semuanya diambil kira sebagaimana juga dalam bahagian bersuci."