BATAL WUDUK
Perkara Yang membatalkan Wuduk bagi Pendapat Imam Hambali
Segala sesuatu yang keluar melalui dua saluran kecuali bagi mereka yang hadasnya berterusan (berpenyakit). Wuduk juga terbatal jika keluar angin melalui zakar atau faraj, suntikan yang dimasukkan ke dalam badan, keluarnya hujung tali perut atau kepala ulat dan keluarnya air mani lelaki atau perempuan yang dimasukkan ke dalam farajnya.
Hilang akal dengan sebab gila, pitam, pengsan atau mabuk.
Tertidur walaupun sekejap sama ada sedang berdiri, duduk, ketika dalam rukuk, sujud, bersandar, mengiring, atau bertinggung.
Menyentuh kemaluan sendiri (qubul atau dubur) atau orang lain sama ada dengan perut tapak tangan, belakang tangan atau bahagian tepi tangan tanpa alas tetapi jika tersentuh dengan kuku maka ia tidak batal. Wuduk tidak batal jika tersentuh kemaluan yang telah dipotong demikian juga sentuhan seorang perempuan pada dua bibir kemaluannya kerana ia tidak dianggap sebagai faraj, sedangkan faraj adalah saluran keluar hadas.
Keluar najis dari bahagian badan sama ada menerusi usus bawah atau atas walaupun kadarnya sedikit yang disebabkan saluran utamanya tersumbat. Jika najis yang keluar itu bukan tahi atau air kencing seperti darah, nanah, muntah dan sebagainya maka ia tidak membatalkan wuduk kecuali kadar yang terlalu banyak dimana ia merasakan jijik melihatnya.
Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan dalam keadaan bernafsu tanpa alas walaupun yang disentuh itu adalah mayat, orang tua, mahramnya dan kanak-kanak perempuan yang berumur 7 tahun keatas tetapi wuduk orang yang disentuh itu tidak batal. Wuduk tidak batal jika bersentuhan tanpa rasa syahwat atau bernafsu dengan kanak-kanak lelaki atau perempuan yang belum berusia 7 tahun. Wuduk juga tidak batal jika menyentuh rambut, kuku dan gigi demikian juga jika menyentuh anggota yang telah terpisah dari badan.
Memakan daging unta (jazur) sama ada daging itu mentah atau pun telah dimasak.
Melakukan perkara yang mewajibkan mandi seperti berjimak, berpindah air mani dan murtad.