20 SIFAT WAJIB & MUSTAHIL

 

v       Wujud

Ertinya Allah itu ada.  Mustahil Allah itu tiada dan bukti Allah itu ada ialah adanya alam ini.  Tidak mungkin adanya sesuatu itu tanpa ada yang mengadakannya atau menjadikannya.

 

v       Qidam

Ertinya Allah itu tidak ada permulaan bagiNya.  Mustahil Allah itu ada permulaan bagiNya, kerana kalau Allah itu ada permulaan maka samalah Ia dengan makhluk.  Jika sama dengan makhluk maka Ia bukan Tuhan.

 

v       Baqa

Ertinya Allah itu kekal selama-lamanya.  Mustahil Allah akan binasa kerana jika Ia binasa maka alam ini tidak akan sempurna dan akan sama turut binasa.  Allah kekal selama-lamanya kerana Ia tidak dijadikan tetapi Ia yang menjadikan sesuatu dan menyempurnakannya.

 

v       Mukhalafatuhu Lil Hawadis

Ertinya Allah tidak menyerupai dengan makhluk.  Mustahil Allah menyerupai makhluk kerana Ia yang menjadikan makhluk, antara yang menjadikan dengan yang kena jadi sudah pasti berlainan.

 

v       Qiyamuhu Binafsih

Ertinya Allah tidak memerlukan kepada yang lainnya.  Mustahil Allah memerlukan kepada yang lainnya kerana jika Allah memerlukan kepada yang selainnya maka sudah tentu Ia lemah, tidak sempurna dan Ianya bukan Tuhan.

 

v       Wahdaniyah

Ertinya Allah itu Maha Esa.  Mustahil Allah berbilang-bilang (banyak) kerana jika Ia berbilang sudah tentu akan terdapat perbezaan pendapat serta akan timbul pula perselisihan faham yang mengakibatkan kebinasaan alam ini.

 

v       Qudrat

Ertinya Allah itu Maha Berkuasa.  Mustahil Allah itu lemah kerana jika Ia lemah maka sudah pasti alam ini tiada dan Ia bukan Tuhan.

 

v       Iradat

Ertinya Allah menetapkan sesuatu mengikut kehendakNya.  Mustahil Allah dipaksa kerana jika dipaksa Ia adalah lemah dan Ianya bukan Tuhan.

 

v       Ilmu

Ertinya Allah itu berpengetahuan.  Ia mengetahui keseluruhannya sama yang telah dijadikanNya atau yang bakal dijadikanNya.  Mustahil Allah itu tidak mengetahui atau bodoh kerana jika Ia bodoh sudah pasti Ia tidak dapat mengatur alam ini.  Kejadian alam yang sempurna ini membuktikan Allah itu berpengetahuan yang tiada tolok bandingannya.

 

v       Hayat

Ertinya Allah itu bersifat dengan hidup.  Mustahil Allah itu mati, jika Ia mati nescaya akan rosak binasalah alam ini kerana itada yang hendak mengaturkannya.

 

v       Sama’

Ertinya Allah mempunyai sifat mendengar.  Mustahil Allah itu pekak atau tuli kerana pekak adalah sifat kekurangan.  Maha suci Allah dari sifat kekurangan tersebut.

 

v       Basar

Ertinya Allah bersifat melihat.  Mustahil Allah itu buta kerana buta itu sifat kekurangan.  Maha suci Allah dari sifat kekurangan.

 

v       Kalam

Ertinya Allah itu bersifat dengan berkata-kata atau berfirman.  Mustahil Allah bisu kerana jia Ia bisu sudah pasti Ia tidak dapat memerintah dengan baik.  Bukti Allah bersifat dengan berkata-kata itu seperti mana firmanNya yang terkandung di dalam kitab al Quran.  Al Quran yang dibaca dan ditulis di atas mashaf itu adalah gambaran dari sifat Kalam yang Qadim yang berdiri atas zat yang Qadim iaitu zat Allah.

 

v       Kaunuhu Qaadiran

Ertinya Allah itu sentiasa bersifat dalam keadaan berkuasa.  Mustahil Allah dalam keadaan lemah.  Oleh kerana Allah mempunyai sifat kuasa maka Ia tetap dalam keadaan berkuasa dan tidak pernah berhenti walau sekejap.

 

v       Kaunuhu Muriidan

Ertinya Allah itu bersifat sentiasa dalam keadaan menghendaki, mustahil Ia dalam keadaan dipaksa.  Oleh kerana Allah mempunyai sifat kehendak maka Ia sentiasa dalam keadaan menghendaki.

 

 

 

v       Kaunuhu ‘Aaliman

Ertinya Allah itu sentiasa dalam keadaan mengetahui, mustahil Ia dalam keadaan tidak mengetahui.  Oleh kerana Allah mempunyai sifat Ilmu maka Ia tetap sentiasa bersifat dalam keadaan berilmu.

 

v       Kaunuhu Hayyan

Ertinya Allah itu bersifat tetap dalam keadaan hidup, mustahil Ia dalam keadaan mati.  Oleh kerana Allah mempunyai sifat Hayat maka Ia tetap sentiasa dalam keadaan hidup.

 

v       Kaunuhu Samii’an

Ertinya Allah itu sentiasa tetap dalam keadaan mendengar, mustahil ia dalam keadaan tuli.  Oleh kerana Allah mempunyai sifat mendengar maka Ia tetap sentiasa dalam keadaan mendengar.

v       Kaunuhu Basiiran

Ertinya Allah itu sentiasa tetap dalam keadaan melihat, mustahil Ia dalam keadaan buta.  Oleh kerana Allah mempunyai sifat melihat maka ia sentiasa tetap dalam keadaan melihat.

 

v       Kaunuhu Mutakalliman

Ertinya Allah itu sentiasa tetap bersifat dalam keadaan berkata-kata, mustahil Ia dalam keadaan bisu.  Oleh kerana Allah mempunyai sifat berkata-kata maka Ia tetap dalam keadaan berfirman.