Make your own free website on Tripod.com

ROGOL, BUNUH MASIH BERLELUASA
Walaupun hukuman lebih berat diperkenalkan

 

Siti Nadira Budah, Nur Shuhada Burak, Nurul Hanis Kamil, Farah Deeba Rustam, Audrey Melissa batinathan dan Noor Suzaily Mukhtar adalah antara nama korban keganasan lelaki.

 

Siti Nadira dan Nur Shuhada masih belum mengenal dunia.  Nurul Hanis, Farah Deeba dan Audrey Melissa meniti alam persekolahan.  Noor Suzaily baru memulakan kehidupan.

 

Kecuali hakikat mereka adalah perempuan, mereka berbeza dari segi usia, perkembangan fizikal dan emosi serta latar belakang.  Tetapi semuanya menerima nasib yang sama; dicabul, dirogol dan dibunuh.

 

Kini, mereka tidak lebih daripada perangkaan atas kertas untuk diamati, diselidiki dan dirujuk.

 

Jika liputan besar media terhadap pembunuhan Noor Suzaily pada Oktober lalu dianggap dapat menghindarkan insiden seumpama itu, kematian Nurul Hanis dengan cara yang hampir sama lapan bulan kemudian, meyakinkan bahawa masalah yang dihadapi jauh lebih parah daripada disangka.

 

Sejarah berulang.  Pembunuhan kejam seumpama itu pada sekitar 1980-an menjadi titik tolak kepada penggubalan undang-undang rogol yang lebih tegas, hasil kempen giat pertubuhan wanita, media massa dan luahan rasa masyarakat.

 

Dalam satu bengkel anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) pada 1985, sebanyak 42 pertubuhan wanita meluluskan resolusi meminta undang-undang rogol dirangka semula.

 

Kejadian lima kanak-kanak termasuk Ang May Hong, 10, dirogol, diliwat dan dibunuh dalam tempoh lima bulan pada 1987 menyebabkan desakan meminda undang-undang diperbaharui dan memuncak.

 

Akhirnya, pada 1989, kerajaan memperkenalkan undang-undang rogol dengan hukuman lebih berat, penjara minimum lima tahun dan maksumum 20 tahun serta sebatan.  Had usia bagi kes rogol statuari ditingkatkan daripada 14 tahun kepada 16 tahun.

Kini, selepas 12 tahun berbalu, kejadian yang sama berlaku.  Undang-undang yang dianggap cukup ketat itu gagal menyelamatkan kanak-kanak perempuan dan wanita.

 

Satu kajian yang dilakukan Pusat Krisis Wanita Pulai Pinang (WCC) menunjukkan undang-undang rogol sedia ada masih tidak memadai bagi mengekang kejadian rogol.

 

Apakah undang-undang baru yang lebih ketat lagi perlu digubal? Dan kalau dirangka, apakah jaminan ia dapat mencegah kejadian rogol?

 

Selepas kematian tragik Nurul Hanis, terdapat syor supaya perogol dihukum mati.  Adakah ia cadangan berkesan atau saranan dikuasai perasaan semata-mata?

 

"Saya tidak akan mencadangkan hukuman mati.  Hukuman yang sedia ada memadai, cuma kahmakah perlu menunjukkan ia serius menangani kejadian rogol dengan menjatuhkan hukuman berat," kata pengerusi Suruhanjaya Undang-Undang NCWO, Rasamani Kandiah.

 

Beliau berkata, sebelum undang-undang rogol dipinda pada 1989, pihaknya menyarankan hukuman penjara minimum tujuh hingga 10 tahun, tetapi akaur dengan lima tahun yang dianggap mencukupi ketika itu.

 

"Kini kita lihat undang-undang itu gagal mencegah kejadian rogol.  Tetapi badan kehakiman boleh menghantar mesej jelas kepada masyarakat dengan mengenakan hukuman penjara yang berat dan sebatan terhadap perogol mengikut undang-undang rogol yang sedai ada.

 

"Bagaimanapun, saya menyokong kerajaan merangka undang-undang khas bagi menangani sumbang mahram.  Saya bersetuju jika bapa yang memperkosa anaknya dipenjarakan seumur dan disebat," katanya.

Satu persoalan menarik untuk diperhatikan sama ada kejadian rogol sememangnya meningkat dewasa ini atau hebahan media memberikan gambaran sedemikian rupa sedangkan keadaan adalah sebaliknya.

 

Perangkaan Unit Siasatan Khas (Kes Seksual), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, menunjukkan bilangan kes rogol menurun sejak 1998.

 

Pada 1998, jumlah kes rogol yang dilaporkan di seluruh negara ialah 1,489 berbanding 1,469 pada 1999 dan 1,217 tahun lalu.  Sehingga Jun tahun ini, sejumlah 576 kes dilaporkan.

 

Bagaimanapun, bilangan mangsa rogol dan bunuh memperlihatkan peningkatan.  Pada 1999, daripada 1,469 kes, 12 mangsa diperkosa dan dibunuh, 2000 (14) dan setakat separuh 2001, enam mangsa.

 

"Kes rogol meningkat,  Setiap hari, kalau kita buka akhbar, kita lihat berita wanita dirogol dan dibunuh atau dicabul atau berita perlakuan sumbang mahram.

 

"Bagaimana kita kata jumlah kes rogol menurun?  Itu tak betul.  Mesti ada yang tidak kena," kata Rasamani yang juga Presiden Persatuan Peguam Wanita Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Perangkaan kejadian rogol di Malaysia hanya mula direkodkan sejak 1993.  Sebelum itu, tiada rekod kebangsaan mengenai jenayah itu dicatatkan sama ada oleh polis atau Jabatan kebajikan Masyarakat.

 

Bagi tempoh di antara 1993 dan 1998, jumlah kejadian rogol meningkat dengan sejumlah 4.1 kes dilaporkan sehari pada 1998 berbanding 2.4 kes pada 1993.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dipetik dari

Harian Metro, Selasa, 31 Julai 2001.

                                                                                            Back to News