WUDUK ORANG YANG UZUR

Pendapat Imam Syafie Cara Berwuduk bagi Mereka Yang Uzur

Bagi mereka yang menghidapi al Salas (sesuatu yang mengalir dengan sendirinya dan tidak boleh dikawal kerana berpenyakit) secara berterusan seperti air mazi, air kencing, angin, najis atau bagi perempuan yang mengidap darah istihadah maka mereka ini hendaklah membersihakn kemaliannya terlebih dahulu kemudian menutup atau membalutnya dengan perca kain dan diikatkan di pinggang ataupun boleh juga digunakan diapers atau apa saja asalkan cecair itu tidak mengalir keluar.

Selepas membalutnya maka hendaklah ia segera mengambil wuduk atau bertayammum.  Semua ini dilakukan setelah masuknya waktu sembahyang dan tidak sah jika dilakukan di luar dari waktu sembahyang.  Cecair yang terus mengalir keluar itu dihukum suci kerana ia berada di dalam keadaan darurat.  Setelah selesai berwuduk atau bertayammum maka wajib ke atasnya untuk mengegerakan menunaikan sembahyang bagi memendekkan masa keluarnya hadas tersebut.

Jika ia melambatkannya kerana terdapat sesuatu halangan bagi menunaikan sembahyang itu sendiri seperti terpaksa menunggu azan atau iqzmah selesai, menunggu jemaah, tercari-cari arah kiblat ataupun mengambil masa untuk ke dewan sembahyang dan sebagainya maka halangan ini tidak akan membatalkan wuduk atau tayammumnya.  Tetapi jika kelambatan itu bukan kerana untuk tujuan sembahyang malah kerana kepentingan diri sendiri seperti berbual-bual, makan atau minum, membasuh, atau berkemas maka wuduknya akan batal menurut pendapat yang sah.

Demikianlah bagi mereka yang mengalami keadaan ini (al Salas) terpaksa memperbaharui wuduknya setiap kali masuk waktu sembahyang dan membersihkan kotoran atau darah serta digantikan dengan perca kain yang baru.  Bagi pengidap penyakit al Salas wuduk dan tayammum mereka hanya sah untuk satu sembahyang fardu sahaja dan beberapa sembahyang sunat.

Pengidap al Salas hendaklah berniat keitak mengambil wuduk dengan niat untuk mengharuskannya menunaikan sembahyang bukan dengan niat untuk mengangkat hadas kecil kerana al Salas atau hadas yang berterusan ini tidak akan terangkat dan dihilangkan oleh wuduk.  bagi pengidap al Salas air mani pula mereka berkewajipan mandi setiap kali hendak menunaikan sembahyang fardu.

Mazhab Shafie dan Hambali bersependapat dalam hukum berkaitan dengan wuduk orang yang uzur.  Secara kesimpulannya seluruh jumhur ulamat juga bersependapat tentang kewajipan memperbaharui wuduk untuk sembahyang fardu bagi mereka yang uzur kecuali Mazhab maliki yang berpendapat wuduk orang yang menghidapi al Salas tidak batal dan ia boleh menunaikan apa saja sembahyang dan sebanyak mana ia kehendaki selagi tidak didapati sebab-sebab lain yang membatalkan wuduk.  Walau bagaimanapun Maliki berpendapat adalah sunat bagi pengidap al Salas dan istihadhah memperbaharui wuduk mereka setiap kali hendak menunaikan sembahyang tetapi ianya bukanlah wajib.

 

 

  Back To Zaini's Homepage